Sunday 5 February 2012

Wasiat & Khutbah Terakhir Rasulullah SAW

Assalamualaikum.
Salam Sahabat.

5 Februari 2012
Bersamaan 12 Rabi'ul Awal 1433 Hijrah
Salam Maulidur Rasul.


Maulidur Rasul
Dalam bahasa Arab bermaksud kelahiran Rasul.
Hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad s.a.w.
Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah s.w.t.

Setiap tahun pada hari ini,
umat Islam di dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w.
Lazimnya akan diadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya.

Dalam kita mengingati tarikh keputeraan Nabi Muhammad s.a.w setiap tahun,
jangan lupa pesanan terakhir Baginda yang disampaikan pada khutbah terakhirnya
pada 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah.
Antara isi dari Khutbah Terakhir Rasulullah itu ialah:
“Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini."
“Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang."
“Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil."
“Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina."
“Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh."
“Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku."
“Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur’an dan Sunnahku."
“Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.”
Demikianlah khutbah terakhir Baginda di Lembah Uranah, Gunung Arafah.
Manakala Wasiat Nabi Muhammad s.a.w ialah :

"Jibrail setiasa mengharap-harapkan akan menjadi manusia kerana tujuh perkara iaitu sembahyang yang lima berimam, duduk bersama ulamak-ulamak, menziarah orang sakit, menghantar jenazah, memberi air minum, mendamaikan di antara dua orang bermusuh-musuhan dan memuliakan jiran serta anak-anak yatim. Maka bersungguh-sungguhlah engkau di atas perkara-perkara tersebut."

"Beramallah engkau dengan lurus hati. Bahawasanya Allah tidak akan menerima melainkan orang yang lurus hatinya."

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud :
"Barangsiapa mengharap untuk berjumpa Tuhannya maka hendaklah dia beramal yang baik dan janganlah mempersekutukan Tuhan dengan apa juga pun."

Sempena hari yang mulia ni,
marilah kita sama2 memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
kerana Baginda juga pernah bersabda
"Sesungguhnya dari kalangan umatku yag berselawat ke atasku 1 selawat yang ikhlas daripada hatinya, Allah akan membalasnya dengan 10 selawat, mengangkatkan kedudukannya 10 darjat, mencatatkan baginya 10 kebajikan dan menggugurkan daripadanya 10 kejahatan."

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...